Sunday, November 28, 2010

Tiga Tetamu Misteri



Seorang isteri tinggal di rumahnya bersendirian.Suami dan anknya pergi bekerja di kebun berdekatan.Sedang dia sibuk menyediakan makanan tengah hari,datang tiga orang tetamu yang begitu tua memberi salam di hadapan rumahnya.
Setelah menjawab salam,dia berkata,"Saya tidak dapat menjemput tuan-tuan masuk ke dalam rumah,kerana suami saya tiada.Sudikah tuan-tuan duduk di halaman sementara menunggu suami saya pulang?"
Salah seorang daripada mereka berkata,"Tidak mengapa,biar kami menunggu di luar."Sjurus si suami pulang,mereka bersalaman dan para tetamu itu memperkenalkan diri."Saya kekayaan,"kata lelaki pertama."Saya kejayaan,"kata yang kedua."Dan saya kasih sayang,"ujar lelaki tua yang terakhir.Si suami menjemput para tetamunya masuk.Namun yang paling tua antara mereka berkata,"Hanya seorang sahaja daripada kami yang boleh masuk."'Jadi kami terpaksa memilih antara kamu bertiga?""ya",jawab mereka."Tunggu kami berunding dahulu,"pinta tuan rumah.
"Kita pilih kekayaan,"cadang si isteri."Semoga rumah kita dilimpahi dengan kekayaan.Dengan kekayaan kita boleh dapat apa yang kita inginkan selama ini.""Tidak,"kata si ayah."Apa kata kita pilih kejayaan.Apabila kita berjaya pasti kita akan dapat harta.Bukan itu sahaja,malah banyak lagi.""Ayah,ibu,saya cadangkan kita pilih kasih sayang,"kata si anak."Biarlah kita hidup seperti hari ini.Hidup sedehana tapi ianya penuh dengan kasih sayang.Saya gembira dan rasa bahagia bila ayah dan ibu saling berkasih sayang dan menyayangi saya....."Kedua suami isteri itu tersentak dengan kata-kata anknya yang begitu murni.
"Baiklah,kita jemput kasih sayang masuk ke dalam rumah,"kata si ayah."Tuan-tuan yang dihormati,kami menjemput pakcik kasih sayang sebagai tetamu.Kami mohon maaf kerana menolak tuan kejayaan dan kekayaan,kerana itu jua yang tuan-tuan minta."Maka tetamu kasi sayang masuk ke dalam rumah merka,namun diiringi oleh kedua-dua orang tetamu yang lain.Tuan rumah terkejut melihat ketiga-tiga masuk ke rumah."Eh,maafkan saya!Mengapa tuan-tuan semua masuk.Bukankah tadi kami hanya memilih kasih sayang?
"Anakku,jika kau menjemput kasih sayang bererti kau juga menjemput kejayaan dan kekayaan.Sudah menjadi prinsip kami,kami akan pastikan ke mana sahaja kasih sayang pergi,kami akan mendampinginya."Mendengar yang demikian,lelaki,isteri dan anaknya tersenyum gembira.Alhamdulillah.....

pengajaran yang boleh kite ambil adalah keluarga yang berkasih sayang mempunyai segala kebaikan.Dengan kasih sayang,kejayaan dan kekayaan akan menyusul.

Thursday, November 25, 2010

salam maal hijrah

jam menunjukkan tepat pukul 1.38 pagi.mata ini hendak melabuhkan tirainya tetapi masih lagi teguh berdiri menghadap laptop ni.tak tahu ape nak buat selain membuatkan jari-jari menari di atas keyboard compaq presario CQ20.Air 100 plus lemon lime menjadi sumber hilangkan dahaga diletakkan di sebelah notebook.agaknya apalah yang dimimpikan oleh orang-orang yang sudah lena dibuai mimpi.adakah mimpi seram,romantik atau sedih?ada juga yang mengigau terjatuh tergolek ke bawah katil....tidak dilupakan sambil melayan blog,ditemani dengan alunan nyanyian lagu dari youtube.

jam menunjukkan pukul 1.53 am,kepala sudah tidak dapat berfikir apa yang hendak dikalamkan.

itu hanya pembuka selera.sebelum pergi lebih lanjut,mari kita muhasabah diri kite sepanjang tahun ni.ada tak kita buat orang marah,sedih,kepada kita?ana harap tahun ini akan menjadi pengajaran buat kita semua.kata orang "yang baik dijadikan teladan,yang buruk dijadikan sempadan".

mulai detik ini,kita mesti buat azam yang baru dimana kita harus bertekad untuk melaksanakannya.bukannya hangat-hangat tahi ayam.ana ingin mengucapkan salam maal hijrah kepada semua.

ukhuwah fillah abadan abada...


Wish for Hana comel...

* Thanks for everything...
* Jangan lupa aku ye... Forget me not...
* Semoga berjaya dalam exam nanti...
* Semoga bahagia di dunia dan akhirat... Insya Allah...
*Love you forever...

Sahabatmu,
Mardhiyyah

Hana tersenyum. Kad comel yang diterimanya 15 tahun lalu dipegang. Dia mencium kad itu. Tanpa disedari, air matanya menitis. Kenangan di alam persekolahan menerjah mindanya. Kenangan itu membawa seribu satu pahit manis alam persahabatan. Di waktu itu jugalah, dia banyak belajar tentang erti kehidupan. Dia masih ingat saat bersama dengan sahabat baiknya, Mardhiyyah. Sahabat sejati yang dicari-cari selama ini.

Walaupun rumah mereka berjauhan, mereka masih saling berhubung. Gembira bersama, sedih bersama, segalanya bersama. Hana bersyukur setelah ditawarkan bekerja di satu daerah yang sama dengan sahabat baiknya itu. Mardhiyyah banyak membantunya. Daripada masalah di sekolah, bahkan di tempat kerja sehinggalah ke masalah peribadi. Hinggakan calon suami pun Mardhiyyah sanggup tolong carikan.

Dia masih ingat kata-kata Mardhiyyah, mahu menjadi seperti Khaulah binti Hakim. Wanita solehah di zaman Rasulullah S.A.W. yang menjadi orang perantara untuk melamar Saudah Zam'ah untuk baginda Rasulullah. Beliau seorang pencari jodoh yang mulia dan dihormati. Mardhiyyah mahu mencontohinya. Dia mahu Hana mendapat suami soleh, bertanggungjawab, warak dan mampu membimbingnya ke jalan yang benar.

" Kau yang rajin sangat carikan suami untuk aku, kau tu bila lagi, Mardhiyyah? "

Hana teringat selorohnya kepada Mardhiyyah.

" Ala... Bukan selalu. Aku nak sangat tengok kau kahwin. Tengok anak-anak kau. Takut tak sempat pula nanti, " sambung Mardhiyyah.

" Ish... Kau ni. Mengarut je la. Nanti aku kahwin, kau jadi pengapitnya. Aku bersalin, kau jadi bidannya. Boleh janji? "



" Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: ‘Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi', kecuali (dengan menyebut): ‘Insya Allah'. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: ‘Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini. "

Pantas Mardhiyyah menyambung dengan membacakan tafsiran ayat 23 dan 24 dari surah Al-Kahfi. Begitu mendalam sekali maksud tafsiran itu.

Walaupun dilahirkan sebagai anak yatim piatu, Mardhiyyah bersyukur kerana telah dijaga dan diasuh oleh arwah neneknya, yang merupakan seorang guru agama. Dia telah terdidik dengan segala cabang ilmu agama sejak kecil. Bahkan, seawal usia 15 tahun dia sudah pun boleh menghafal 30 juzuk Al-Quran.

" Jadi, apa maksudnya, Ustazah Mardhiyyah?" Hana menyambung selorohnya.

Disebabkan kepetahan Mardhiyyah membicarakan hal-hal agama juga telah menyebabkan dia digelar ‘ustazah' di kalangan rakan-rakannya di sekolah.

" Insya Allah... Kalau umur aku panjang, bolehlah aku jadi pengapit dan ‘mak bidan' kau. Sebab itu aku tak mahu janji. Faham tak, anak muridku sayang? "

Lantas, Mardhiyyah mencuit hidung mancung milik Hana. Mereka berdua tertawa. Tidak menghiraukan suasana sekeliling. Hana teringat detik itu. Waktu itu. Kalaulah masa boleh diputar kembali, dia ingin saat itu terhenti. Kalaulah.

Tidak lama selepas itu, Hana telah dipertemukan dengan seorang pemuda yang kini menjadi ‘raja' dihatinya iaitu suaminya. Pertemuan yang tidak dijangka itu telah membibitkan rasa cinta antara mereka yang sudah semestinya bertunjangkan cinta kepada Rabbul Jalil. Semua itu aturan Ilahi yang telah diilhamkan kepada hambanya-Nya yang solehah. Hana sama sekali tidak menyangka bahawa pemuda itu merupakan sepupu kepada Mardhiyyah. Begitu hebat sekali percaturan Yang Maha Kuasa.

Petang Rabu itu, Mardhiyyah mengajak Hana untuk sama-sama solat berjemaah di Masjid At-Taqwa. Kebetulan hari itu akan diadakan kuliah Maghrib di masjid tersebut. Memang menjadi rutin mereka untuk menghadiri mana-mana majlis ilmu yang dianjurkan.

" Majlis ilmu merupakan salah satu daripada taman-taman syurga Allah. Berpuluh ribu malaikat akan turut bersama kita dalam majlis seperti ini. Jadi, ambillah kesempatan ini untuk memohon tiga perkara daripada Allah. " Mardhiyyah mengingatkan.

" Perkara apa, Mardhiyyah? " soal Hana.

" Pertama, mohonlah syurga daripada Allah. Kedua, mohon supaya diri kita dijauhkan daripada api neraka dan ketiga, mohon diampunkan segala dosa-dosa kita. Insya Allah, Allah akan makbulkan permintaan hamba-Nya yang ikhlas. "

Hana tersenyum mendengar penjelasan itu. Berbunga hatinya lantaran takjub dengan kebesaran Illahi.

Usai solat Isya' berjemaah, mereka mengambil kesempatan untuk mengemas masjid itu. Al-Quran disusun dengan rapi. Telekung disangkut di tempatnya. Sejadah dilipat kemas. Sewaktu meletakkan sejadah di atas rak, Hana terpandang sebuah kitab yang mengandungi hadis-hadis sahih Riwayat Bukhari dan Muslim. Dia begitu tertarik lantas dicapainya kitab itu. Tertib sekali dia membuka kitab itu agar tidak terkoyak mahupun rosak.

Satu persatu halaman kitab itu dibeleknya. Matanya terpaku tatkala membaca satu hadis Riwayat Bukhari yang bermaksud;

" Wahai pemuda! Sesiapa yang mampu akan maskahwin maka berkahwinlah kerana ia lebih merendahkan pandangan mata dan memelihara kemaluan. Dan sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana ia menjadi perisai baginya. "

Hana tersenyum sendiri lantaran teringat kata-kata Mardhiyyah yang ingin mencari suami untuknya. Dia tidak menyedari, perbuatannya itu diperhatikan oleh seorang pemuda.

" Assalamualaikum. " Pemuda itu menyapanya. Hana terkejut.

Hampir-hampir sahaja kitab itu terlepas dari pegangannya. Dia beristighfar sambil mengurut-urut dadanya.

" Waalaikumsalam. " Cepat-cepat Hana menjawab. Dia tahu hukum menjawab salam adalah wajib.

" Maafkan saya. Saya tak berniat nak membuatkan saudari terperanjat tadi. "

Lembut dan tenang tutur kata pemuda itu sewaktu memohon maaf atas tindakannya itu.

" Oh... Tak ada apa. Saya yang leka sikit tadi. " Hana sempat mengerling ke arah pemuda itu lalu ditundukkan kembali pandangan matanya.

Subhanallah! Dia terpegun melihat ketampanan wajah pemuda itu. Riak wajahnya begitu tenang, bisa menggugat keteguhan iman seorang yang bernama wanita. Hana tidak berani mendongak ke arah wajah itu kerana tidak mahu terjerat dengan perangkap Iblis Laknatullah.

Dia teringat salah satu hadis Rasulullah yang menjadi pegangannya yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang bermaksud:

" Rasa malu dan iman adalah sejoli. Bila yang satu lenyap, yang lainnya lenyap juga. "

" Saya Aiman Ashraff. Saudari? " tanyanya.

" Hana Insyirah. " Dia masih tunduk.

Pertemuan itu rupanya diatur oleh Mardhiyyah yang sedang asyik memerhatikan sahabatnya itu. Aiman merupakan seorang pensyarah agama di salah sebuah universiti dalam negara. Pertemuan itu juga merupakan titik permulaan ke alam perkahwinan bagi Hana yang disaksikan oleh berpuluh ribu malaikat di rumah Allah itu. Perkahwinan yang bakal menjanjikan kebahagiaan berumahtangga yang dilimpahi mawaddah wa rahmah dari Ilahi.

Dua minggu sebelum pernikahan Hana dan Aiman, Hana menerima 'SMS' daripada Mardhiyyah.

Doa dari seorang sahabat:

Ya Allah, jika sahabatku jatuh CINTA, berikanlah cintanya pada seseorang yang melebihkan cinta pada-Mu agar bertambah kekuatannya untuk menyintai-Mu. Wahai Maha Penyayang, jika sahabatku jatuh HATI, izinkanlah hatinya menyentuh hati orang yang hatinya tertaut pada-Mu agar sahabatku tidak jatuh dalam jurang cinta yang murah. Wahai Maha Pengasih, jika sahabatku RINDU, rindukanlah dia kepada seseorang yang merindui syahid di jalan-Mu, jagalah rindunya pada-Mu agar dia tidak lalai dari merindui syurga-Mu... Amiin...

Hana terkedu. Sebak mencengkam dadanya. Terasa sesak nafasnya tatkala membaca 'SMS' itu. Hana berdoa dalam hatinya.

" Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu kerana telah menemukan aku dengan sahabatku, Mardhiyyah. Segalanya atas izin-Mu jua. Kau limpahkanlah rahmat ke atasnya. Kekalkanlah persahabatan ini hingga ke akhir hayat kami. Amiin. "




Dengan sekali lafaz, Hana selamat diijab kabulkan dengan Aiman. Air matanya bergenang.

" Sekarang kau dah jadi isteri orang. Tak lama lagi, jadi ibu orang pula. Ingat, tanggungjawab kau makin besar. Jangan sesekali abaikan tanggungjawab kau tu. Syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya tau, " bisik Mardhiyyah. Hana mengangguk.

" Syukran, Mardhiyyah. " Hana mencium pipi sahabatnya itu. Terasa bagaikan ada aura yang mengalir. Mereka tersenyum.

Tidak lama kemudian, Mardhiyyah pula mengikut jejak langkah Hana. Jodohnya dengan seorang peguam syariah, Luqman Hakim namanya. Namun, segalanya sudah tertulis di Luh Mahfuz. Suaminya telah kembali ke rahmatullah sewaktu dia mengandung anak kedua. Suaminya pergi semasa sedang tidur. Mardhiyyah tidak menangis, apatah lagi meratap. Dia begitu tenang sekali menghadapi saat-saat itu. Dia redha. Jodoh, ajal, maut semuanya dalam genggaman Rabbul Alamin.

" Sabarlah, Mardhiyyah. Allah lebih sayangkan suamimu. Panjatkanlah doa agar rohnya tenang di sisi para solihin, " Hana menenangkannya.

Dia tahu betapa luluhnya hati Mardhiyyah tika itu. Mereka berpelukan. Tiada kata yang mampu diucapkannya.

Usia kandungan Mardhiyyah sudah mencecah lapan bulan. Semenjak kematian suaminya, dia banyak bersendirian, beribadah kepada Allah disamping menjaga anak sulungnya yang berusia 5 tahun.

" Hana, aku nak minta tolong sesuatu dari kau, boleh? " ujar Mardhiyyah pada satu petang. Petang yang begitu hening.

" Insya Allah... aku akan cuba penuhi permintaan kau tu. "

Mardhiyyah menarik nafas panjang.


" Kalau aku dah tak ada nanti, boleh tak kau jaga anak aku, Amirul dan ‘baby' yang bakal lahir ni? " Mardhiyyah mengusap-usap perutnya dengan penuh kasih sayang.

" Ish... Kau ni. Kenapa cakap macam tu pulak? Kan kita dah janji akan jaga anak kau sama-sama. " Hana gusar.

Mardhiyyah memegang perutnya.

" Nanti ‘baby' jangan nakal-nakal tau. Jadi anak solehah. Jangan degil. Jangan gaduh dengan Abang Amirul. Ummi sayang anak-anak ummi. "

Hana sebak.
Dia tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir.

" Hana, nanti kau namakan ‘baby' ni... Khaulah... Ummu Khaulah. "

Mardhiyyah tersenyum.
Mungkin senyuman terakhir. Senyuman yang bisa merungkaikan segala kesulitan di hati seorang sahabat.

" Ya, Mardhiyyah. Aku akan buat apa saja untuk kau, " Hana menahan tangisnya.

" Insya Allah? " ujar Mardhiyyah.

" Insya Allah, Mardhiyyah. "

***

" Mama! "

Lamunan Hana terhenti. Ummu Khaulah berlari-lari ke arahnya.

" Ya, sayang. Belajar apa di tadika hari ni? " tanya Hana sambil merangkul tubuh si kecil itu.

" Hari ni Khaulah belajar melukis, ma. Cikgu tu cakap, lukisan Khaulah cantik. Besar nanti boleh jadi pelukis. Mama, boleh jual tak lukisan ni? Boleh tambah duit poket. "

Hana tersenyum mendengar kepetahan Khaulah.

" Ada orang nak beli ke lukisan ni nanti? Lagi satu, besar nanti nak jadi pelukis ke? " gurau Hana.

" Tak lah, mama. Khaulah nak jadi doktor Islam. Lukisan tu mama lah yang beli. "sambung Khaulah sambil ketawa.

Hana mengucup dahi Khaulah. Dia berasa begitu bahagia.

Mardhiyyah,
Dah enam tahun kau tinggalkan kami. Kau pergi di saat melahirkan Khaulah. Kau pernah beritahu aku. Mati semasa melahirkan anak merupakan salah satu tanda mati Husnul Khatimah. Amirul dan Khaulah aku jaga macam anak-anak aku sendiri. Masing-masing dah bersekolah. Khaulah mewarisi kepetahanmu dan Amirul mewarisi kesabaranmu. Amirul banyak bersabar dengan kerenah keanak-anakan adiknya itu. Kedua-duanya bijak seperti kau dulu. Janjiku pada kau akan aku laksanakan sebaiknya. Insya Allah... Aku terlalu merinduimu, Mardhiyyah. Rindu saat-saat dulu. Terima kasih atas segalanya. Kaulah sahabatku, selama-lamanya. Doaku agar rohmu ditempatkan di kalangan para syuhada'. Amiin.

Hana menyimpan semula kad itu. Air matanya mengalir lagi.

Secekal Al-Fateh Segagah Al-Ayyubi



Bayu Bosphorus bertiup manja. Kadang-kadang nakal menampar-nampar lembut wajah Fateh. Bau masin laut menerawang di ruang udara. Berebut-rebut menerobos indera hidunya. Indera lihatnya tidak puas-puas merakam keindahan pagi di tebing Bosphorus walaupun acapkali dia ke mari. Bogaziçi, begitulah gelaran untuk selat ini dalam bahasa Turki. Dari jauh sayup-sayup kelihatan pelabuhan Golden Horn. Di pelabuhan itulah suatu ketika dulu 70 buah kapal milik pasukan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendarat. Gempar Maharaja Konstantine ketika itu. Apa tidaknya, kapal-kapal itu dipindahkan menggunakan jalan darat. Kapal-kapal itu diluncurkan melalui Semenanjung Fera sejauh tiga batu sebelum sampai ke Pelabuhan Golden Horn. Sungguh, Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya menukar daratan menjadi lautan, melayarkan kapalnya di puncak gunung dan bukan di ombak lautan. Dalam-dalam Fateh manarik nafas. Matanya kejap dipejam. Seolah-olah mencari semangat Sultan Muhammad Al-Fateh yang masih tersisa di selat itu.

“Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Palestin hari ini ialah Konstantinopel. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?”

Kata-kata Safiyya bersipongang di segenap jihat fikiran Fateh. Atma5nya dijentik sebak.

sultan

“Bagaimana tanganmu, Safiyya? Masih sakit lagi?” sapa Fateh. Dalam kesibukan merawat pesakit-pesakit di musytasyfa, Fateh sempat lagi mencuri ruang menjenguk Safiyya. Keadaan dalam hospital semakin sesak. Setiap inci tempat ada sahaja batang tubuh yang terbaring memerlukan bantuan perubatan. Entah sampai bila bangunan Musytasyfa al-Syifa ini boleh terus berdiri untuk menampung jumlah pesakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut.

Safiyya sekadar menguntum senyum pada pemuda berkumis nipis berjanggut pandak itu. Fateh memeriksa keadaan tangan Safiyya.


“Andai aku hilang tangan kanan, aku masih punya tangan kiri untuk terus berjuang,” mata Safiyya bersinar galak. Tiada tergambar garis-garis kecewa pada air mukanya. Fateh terkesima. Teringat dia kisah Jaafar bin Abi Thalib dalam ghazwah Mu’tah. Walaupun kedua-dua tangannya dicantas musuh, panji yang diamanahkan oleh Rasululah tidak dibenarkan mencium tanah. Dipeluk panji dengan kedua-dua lengannya. Rasa kagum pada sahabat nabi yang bergelar At-Tayyar itu kini turut singgah pada Safiyya.

Abi ada datang menziarahiku?” suara gadis itu sedikit kendur. Safiyya dalam keadaan tidak sedarkan diri ketika dia dihantar ke hospital tempoh hari.

“Err...” Fateh gugup. Dia hilang bicara. Sebetulnya Basil Mustapha tidak pernah kembali sejak dia menghantar anak gadisnya.

“Apa kamu bimbang aku tidak tega mendengar berita kesyahidannya?” Safiyya menduga.Khali.

“Bahkan itu jawapan yang paling aku nanti,” sejenak pandangan mereka bersatu.

“Aku tidak punya jawapan untuk soalanmu itu. Yang pasti, abimu tidak pernah kembali sejak dia menghantar kamu ke sini,” Fateh gagahi diri untuk berterus-terang. Lebih dua puluh hari Safiyya menanggung derita akibat peluru yang terbenam di bahu kanannya. Andai Basil Mustapha, ayahnya lewat sehari menghantarnya di Musytasyfa Al-Syifa itu, Safiyya bakal kehilangan anugerah Allah itu. Otot tangannya terurai. Tisu dagingnya mati dan saraf tangan Safiyya hancur lumat. Semuanya gara-gara bedilan rejim zionis yang menggila di Gaza. Fateh tambah bengang apabila mengetahui Safiyya pernah cuba dihantar menjalani pembedahan di hospital Kaherah, Mesir melalui pintu sempadan Rafah beberapa hari selepas terkena tembakan. Namun gara-gara sekatan di sempadan, Safiyya gagal dibawa keluar dan tersadai tidak terbela di pintu sempadan Rafah sebelum Basil Mustapha membawa Safiyya kembali ke Gaza.

“Aku sedang membantu ummi di kedai runcit kami ketika tiba-tiba kami dihujani tembakan peluru si zionis. Ummi terkorban. Begitu juga adikku Soufiyyan,” Safiyya membetulkan jilbabnya yang hampir melorot ke belakang. Beberapa helai rambut yang terjurai di dahi segera disusup ke dalam jilbab hitamnya. Cekatan Fateh membuka balutan di tangan Safiyya. Bekas luka dicuci penuh berhati-hati. Lurah-lurah kecil terbentuk di dahi Safiyya. Dia menyeringai kesakitan.

Jabeliya, tempat tumpah darah Safiyya ialah kawasan terawal yang menjadi sasaran bedilan tentera Israel. Kawasan yang suatu masa dahulu meriah dengan rimbunan pokok zaitun, deretan rumah dan beberapa bangunan kilang kini menjadi padang jarak padang terkukur. Tiada yang tersisa melainkan serpihan-serpihan batu bata yang berselerakan di sana sini.

“Aku bersimpati terhadapmu, Safiyya. Begitu juga dengan mereka yang senasib denganmu,” Fateh meluahkan rasa simpati. Wajah Safiyya diseluruhi. Senyumannya yang kini membuat Fateh tidak lena tidur malam. Lirik matanya benar-benar buat Fateh tidak keruan. Fateh dapat merasakan denyutan jantungnya menyalahi tempo setiap kali berhadapan dengan gadis dari Desa Jabeliya itu. Kadang –kala lidahnya jadi kelu ibarat mulutnya penuh disumbat batu. Keteguhannya memelihara syariat Ilahi membuatkan Fateh tambah jatuh hati. Biarpun sakit dan berada dalam kesulitan suasana perang, jilbab masih lekat di kepala. Saat itu dia terkenang Welma, kekasihnya. Welma tidak kalah jika hendak dibandingkan dengan Safiyya. Cuma bezanya, Welma lebih selesa membiarkan rambutnya yang ikal ditayang di khalayak. Welma lebih senang mengenakan skirt pendek dan menampakkan kulit kaki yang halus dan gebu. Mungkin kesalahan tidak boleh seratus peratus diletakkan atas pundak Welma. Pemakaian jilbab sememang diharamkan di negaranya. Welma juga sepertinya, jauh dari biah Islamiah dek dasar-dasar negara yang tidak memihak kepada syariat samawi.

“Aku juga bersimpati terhadapmu, Fateh,” Fateh sedikit tersentak. Wajah Welma hilang dari pandangan.

“Kamu bersimpati terhadapku?” Fateh kebingung-bingungan.

panglima


“Hakikatnya Fateh, kita sama-sama diserang. Bezanya, kami di Palestin diserang secara fizikal sedang umat Islam di luar sana diasak secara halus,” Safiyya mengurut-urut lembut tangannya yang telah selesai berganti balutan. Fateh mengangguk-angguk kecil.

“Contoh paling mudah, budaya hedonisme.. Umumnya, ideologi hedonistik ini memfokuskan kepada perkara yang boleh meningkatkan keseronokan dan mengurangkan perkara-perkara yang menjuruskan seseorang kepada kesedihan (increasing pleasure and reduce pain). Tanpa umat Islam sedari, mereka telah disuntik dengan doktrin ini. Al-hasil, lahirlah golongan umat yang tidak berpijak di bumi realiti. Mereka meletakkan simbol keseronokan serta kemewahan sebagai satu prioriti dalam hidup. Hidup bersandarkan angan-angan. Maka benarlah sabda Baginda SAW junjungan kita, kebaikan generasi pertama umat ini kerana adanya cita-cita untuk syahid dan keimanan yang tidak berbelah bagi. Binasanya generasi akhir umat ini kerana adanya sifat bakhil dan banyak berangan-angan,” Safiyya menghela nafas. Fateh membisu. Hanya otaknya ligat mencerna bicara Safiyya.

“Cuba kau teliti semula sejarah empayar Islam. Fateh, kau akan dapati bahawa jatuhnya empayar Islam sama ada kerajaan Abasiyyah ataupun Kerajaan Turki Uthmaniyyah tidak lain dan tidak bukan adalah kerana pemimpin dan rakyat ketika itu menganuti aliran ini. Hidup berpaksikan keseronokan dan kemewahan. Enak tenggelam dibuai hiburan melampau. Maka, suburlah penyakit dalam hati yang disebut Nabi sebagai wahan. Cintakan dunia dan takutkan mati. Percaya atau tidak, ideologi inilah yang mengunci bicara, memaku gerak tindak para pemimpin Islam hari ini. Menikus di hadapan Israel kerana bimbang untuki maju ke hadapan membantah. Khuatir segala keselesaan yang dikecap akan lenyap,” suara Safiyya sedikit keras. Renungannya tersimpan amarah yang tidak terungkap. Fateh terus selesa mengambil sikap mendengar. Fateh hampir lupa, Safiyya mahasiswa tahun akhir dalam bidang sosiologi dan sejarah di Universiti Islam Gaza. Sebelum sempat menamatkan pengajian, bangunan kuliah ranap tersungkur di dada bumi.

“Jihadmu bukan di sini, Fateh,” lemah kedengaran di hujung suara gadis dari desa Jebaliya itu. Otot dahi Fateh tegang. Mulutnya yang sedikit ternganga cepat-cepat digetap.

“Apa salahkah aku ingin menjadi Salahuddin Al-Ayubbi?” Fateh akhirnya menzahirkan rasa tidak puas hati yang bergulat dalam diri. Safiyya tersengih. Fateh rasa seolah-olah cita-citanya diperkecil-kecilkan. Seolah-olah dia tidak layak untuk menyimpan impian setinggi itu.

“Aku lebih suka engkau menjadi Al-Fateh. Sesuai dengan namamu Fateh,” ujar Safiyya dalam nada berseloroh.

“Sultan Muhammad Al-Fateh?” Fateh ingin kepastian.

“Aku hargai pengorbananmu datang menjejakkan kaki di bumi Palestin ini untuk membantu kami. Ya, sememangnya di sini kami memerlukan bantuan pakar perubatan sepertimu. Namun, antara sedar atau tidak, umat Islam di luar sana jauh lebih sakit dari kami yang sedang terlantar di hospital ini. Mereka lebih perlukan rawatan dan perhatian, Fateh” Safiyya kembali serius.

“Kota Konstantinopel hanya berjaya dibuka setelah 800 tahun dikhabarkan Rasulullah SAW. Sultan Muhammad berjaya membuktikan kebenaran sabda baginda dengan usaha yang tidak sedikit. Sejak kecil baginda telah disuguhkan bahawa bagindalah yang akan membuka Konstantinopel. Malah kelahiran Salahuddin sendiri telah dirancang seawal zaman Imam Al-Ghazali. Inilah jihadmu, Fateh. Di bahumu tergalas satu tanggungjawab untuk merancang dan melahirkan generasi sehebat Al-Ayyubi dan secekal Al-Fateh. Hanya generasi berjiwa besar seperti mereka sahaja yang dapat membumikan cita-cita seluruh umat Islam yakni melihat masa depan menjadi milik Islam,” berdiri bulu roma Fateh mendengar hujah Safiyya. Lafaz takbir perlahan-lahan mercup di tubir bibirnya.

“Aku akan pulang ke Turki dalam tempoh masa terdekat ini,” Fateh menelan air liur. Fateh nekad pagi itu dia akan berterus terang tentang isi hatinya.

“Safiyya, sudikah engkau mengikut aku?” kerongkongnya perit. Awalnya, Safiyya tidak menunjukkan sebarang reaksi. Lambat-lambat Safiyya mengangkat muka, memandang tepat wajah Fateh.

“Maafkan aku, Fateh, aku harus terus tinggal di sini. Di sini jihad aku bermula dan bertapak. Pulanglah engkau ke tanah airmu. Aku ada perjuangan aku dan engkau ada perjuangan engkau. Biarpun perjuangan berbeza tetapi matlamat kita sama. Setiap kita harus menjadi secekal Al-Fateh dan segagah Al-Ayyubi andai kita mahu menawan kembali Baitul Maqdis. Anggaplah Palestin hari ini ibarat Konstantinopel. Setiap umat Islam seharusnya bercita-cita untuk menjadi Al-Fateh dan paling tidak pun menjadi seperti tentera-tenteranya. Bukankah Sultan Muhammad Al-Fateh itu sebaik-baik raja yang memimpin sebaik-baik tentera?” Safiyya tega dengan keputusannya. Fateh tahu dia tiada upaya mengubah fikiran Safiyya. Dari awal lagi dia boleh mengagak apa jawapan yang bakal diterima. Biarlah. Sekurang-kurangnya dia tidak terus berteka-teki dan menyimpul andaian sendiri.

“Aku hormati keputusanmu,” awan pilu berarak menyelubungi wajah Fateh. Fateh berlalu sambil membujuk kalbu. Fateh tidak menyangka itu pertemuan terakhir mereka. Safiyya menghilangkan diri sejak itu. Tiada siapa nampak kelibatnya lagi di musytasyfa. Fateh dirundung rasa bersalah. Namun, Fateh yakin Safiyya pergi bukan kerana jauh hati dengannya.

Salahudin

Abi! Abi!” Fateh menoleh. Seorang kanak-kanak lelaki menerpa ke arah Fateh yang sedia mendepangkan tangan. Welma ayu dalam jilbab hijau pucuk pisang mengekori kanak-kanak itu di belakang. Jubahnya beralun-alun ditiup angin. Tubuh kecil itu dirangkul Fateh. Bertubi-tubi ciuman Fateh singgah di pipinya.

“Siapa yang akan menawan Baitul Maqdis?” Fateh separuh menjerit. Soalan itu seringkali singgah di cuping telinga anaknya.

“Saya, abi!” sambut anak kecil seperti biasa. Tangannya dijulang tinggi-tinggi. Satu ciuman singgah dipipi munggilnya.
“Kamu pasti, anakku?” Welma mengangkat kening sambil merapatkan wajahnya ke wajah anaknya sehingga dahinya mencecah dahi anaknya.

“Saya pasti ummi kerana saya Salahuddin Al-Ayubbi zaman ini!” Salahuddin petah membalas walaupun sedikit pelat. Gelak tawa mereka beranak-pinak.

"Terima kasih, Safiyya. Moga perjuanganmu dan perjuanganku tidak sia-sia," bisik hati Fateh. Tangan Welma dirangkul. Salahuddin mengeliat kecil dalam dukungan Fateh. Beriringan mereka berjalan meninggalkan Selat Bosphorus bersama adunan semangat Al-Fateh dan Al-Ayubbi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...